Dalam kita membicarakan atau membincangkan konsep kepimpinan, kita perlu paham apakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan. Menurut Robbin dan Coulter (2002), yang mendefinisikan kepimpinan sebagai keupayaan dan kebolehan seseorang dalam mempengaruhi sesuatu kumpulan ke arah pencapaiaan sesuatu matlamat. Manakala Ahmad Atory (1998), mendefinisikan kepimpinan sebagai kejayaan seseorang dalam memimpin orang lain untuk melaksanakan sesuatu kerja ke arah pencapaian sesuatu matlamat atau objektif (Halimah Ab.Manaf, et, al.,2005).
Berdasarkan definisi yang dikemukakan, maka dapat simpulkan bahawa kepimpinan merupakan satu proses mempengaruhi dan menyakinkan orang lain agar bekerja keras ke arah mencapai matlamat organisasi. Kepimpinan juga satu proses yang berterusan dalam memastikan matlamat yang diingini dapat dicapai serta berterusan seiring dengan perubahan yang berlaku dalam organisasi. Oleh yang demikian, kepimpinan berperanan penting dalam melaksanakan, merancang dan menentukan hala tuju sesebuah organisasi serta mengurus perubahan ke arah meningkatkan prestasi pekerja dan organisasi amnya (Halimah Ab.Manaf, 2005).
Terdapat banyak definisi tentang kepimpinan yang diterima umum. Definisi yang dikemukakan di sini menunjukkan persetujuan dari segi makna asas kepimpinan. Menurut Koontz dan O’Donnel, kepimpinan secara amnya adalah semata-mata bermakna pengaruh, satu seni atau proses mempengaruhi orang supaya mereka dapat berusaha secara sukarela ke arah pencapaian matlamat bersama. Manakala Gordon pula memberi definisi kepimpinan seperti berikut:
“Kepimpinan dapat dilihat sebagai proses interaksi di antara individu dengan kumpulan atau secara khususnya di antara individu dengan keseluruhan ahli-ahli yang menganggotai kumpulan. Setiap yang terlibat dalam proses interaksi ini boleh dianggap memegang watak-watak tertentu yang berbeza di antara satu dengan yang lain. Asas yang membezakan tadi ialah pengaruh iaitu pemimpin mempengaruhi dan pengikut nmematuhi.” (Razali Mat Zin, 1998).
Menurut definisi ringkas yang dijelaskan oleh Fulmer, kepimpinan melibatkan kedua-dua keupayaan atau kekuatan untuk menyakinkan orang lain bagi bekerja keras ke arah sesuatu matlamat dan kemahiran atau kebolehan untuk membantu mereka mencapainya (Razali Mat Zin, 1988). Hollander pula menyatakan bahawa kepimpinan adalah satu proses bagaimana pengaruh boleh mempengaruhi di antara pemimpin dengan pengikut. Walaupun pemimpin mempunyai kuasa tetapi kekuatan pengaruh lebih bergantung kepada pujukan daripada paksaan.
Proses kepimpinan selalunya melibatkan pertalian pengaruh yang bersifat dua arah dengan kata lain melibatkan komunikasi dua hala. Tujuan utama ialah untuk mencapai matlamat bersama. Jadi, kepimpinan bukan hanya tanggungjawab pemimpin tetapi memerlukan usaha kerjasama daripada pengikut-pengikutnya (Razali Mat Zin, 1998). Seorang lagi ahli pengurusan iaitu James Gribben mendefinisikan kepimpinan sebagai satu proses mempengaruhi ke atas kumpulan dalam situasi dan masa yang khusus yang dapat merangsang mereka untuk berusaha secara rela hati bagi mencapai matlamat bersama (Razali Mat Zin, 1998).
Kebanyakan pakar yang mengkaji kepimpinan bersetuju bahawa kepimpinan ialah proses yang mana seseorang individu itu mempengaruhi anggota-anggota lain di dalam kumpulannya atau organisasi ke arah mencapai tujuan dan matlamat organisasi itu. Di dalam erti kata lain, kepimpinan ialah proses yang sangat berkait dengan pengaruh iaitu seseorang pemimpin organisasi itu berjaya mempengaruhi mereka yang dipimpin supaya mengubah sikap dan tingkah laku mereka.
Kepimpinan juga sangat berkait rapat dengan emosi-emosi positif yang dikongsi di antara pemimpin dengan kakitangan-kakitangan yang di bawah pimpinannya dalam organisasi. Dalam erti kata lain mereka yang dipimpin bersetuju untuk dipengaruhi oleh pemimpin mereka disebabkan mereka itu menyukai, menghormati dan mengagumi pemimpin mereka iaitu disebabkan pemimpin itu mempunyai kuasa rasmi ke atas mereka ataupun disebabkan pemimpin itu memegang jawatan-jawatan khas (Abdulah Hassan Ainon Mohd, 2005).
Dengan ini, berdasarkan analisis yang dibuat ke atas definisi-definisi yang dikemukakan maka dapatlah dirumuskan mengenai ciri-ciri kepimpinan. Kepimpinan wujud dalam apa jua aktiviti yang disusun secara rapi dan sistematik. Kepimpinan juga berkait rapat secara langsung dan tidak langsung dengan keseluruhan aktiviti dalam organisasi. Kepimpinan juga mempunyai pertalian yang rapat dengan kuasa. Setiap keadaan memerlukan
0 comments:
Post a Comment