Pada  suatu malam Sultan Harun Al-Rashid bersama-sama Al-Abas mengunjungi seorang  ulamak Fudlail Iyadi di rumahnya. Tiba di hadapan rumahnya, baginda mendapati  beliau sedang mengaji Al-Quran, dan kedengaran pada satu ayat yang bermaksud  "Apakah orang yang beriman sama dengan orang yang derhaka? mereka tidak sama". 
Sultan Harun Al-Rashid tunduk dan berkata kepada Al-Abas, "Andainya kita  dapat mengambil hikmah dari ayat tadi, sungguh besar manfaatnya buat kita".  Al-Abas mengangguk seolah merasa tersindir, bukan oleh ucapan sultan tadi,  tetapi disebabkan bacaan oleh Fudlail Iyadil. Ia memanggil dengan suara yang  amat keras. "Hai Fudlail, sultan datang untuk bertemu kamu, keluarlah engkau". 
Ulamak yang warak itu menjawab dari dalam, "Apa sultan tidak tahu, apa  yang seharusnya dilakukan oleh ulamak pada saat saat seperti sekarang, sehingga  sultan sanggup bertemu di waktu malam?" Fudlail tidak mahu keluar, ia hanya  membuka pintu, lalu duduk kembali di atas alas sembahyangnya dan memadamkan  lampu. Didalam suasana gelap Fudlail tersentuh tangan sultan dan  berkata "Alangkah halusnya tangan sultan di dalam gelap". Sultan terasa  tersindir, ia sedar memang selama ini kelembutannya seakan-akan hanya nampak di  tempat gelap sahaja, pada saat orang lain tidak melihat apa-apa yang sebenarnya  sering di lakukan di luar pengetahuan rakyatnya.
Ia gementar  apalagi ketika Fudlail melanjutkan ucapannya."Sayang tangan sehalus ini belum  tentu selamat dari api neraka". Fudlail melanjutkan ucapannya tanpa prasaan  takut. "Hai raja, hendaklah engkau bersiap-siap apabila tiba masanya diminta  dipertanggungjawabkan di hadapan Allah berserta rakyat yang kau pimpin. Bukankah  Rasulullah pernah bersabda bahawa diantara mereka yang paling keras ditanya  dalam pengadilan Allah adalah penguasa yang mengambil haknya dari rakyat, tetapi  dirinya tidak memberi manfaat kepada rakyat dan tidak sanggup melindungi mereka  dari kezaliman atau aniaya iaitu raja yang dipatui oleh rakyat namun tidak  memperlakukan sama antara yang kuat dengan yang lemah, tidak berlaku adil antara  yang besar dengan yang kecil, serta kalau bercakap semahun-mahunya sendiri,  hanya berdasarkan hawa nafsu belaka".
Mendengar perkataan Fudlail itu  raja menangis tersedu-sedu, menyedari besarnya amanat yang harus di pikulnya dan  alangkah dahsyatnya petaka yang akan menimpanya seandainya ia tidak dapat  menunaikan kewajipan secara adil. Setelah melihat sultan bersedih hati, Al-Abas  menegur dengan marahnya "Hai Fudlail, hentikan celotehmu! adakah engkau akan  membunuh raja?". Lantas sultan berkata "Wahai guru yang baik terimalah hadiah  dari saya sebanyak seribu dinar yang dibawa oleh Al-Abas ini".
Cepat  Fudlail memotong, "Tidak saya tidak mahu menerima hadiahmu kerana saya tahu wang  tersebut bukan benar-benar milikmu, kembalikanlah seribu dinar itu kepada  orang-orang yang telah engkau ambil darinya". Raja pun berdiri dengan perasaan  kecewa, tetapi telah memperolehi peringatan yang berguna, Harun Al-Rashid lalu  keluar meninggalkan Fudlail yang berapa lama kemudian telah kembali membaca  Al-Quran dan melakukan mutalaah sehingga jauh malam.
Thursday, July 10, 2008
Kisah Ulamak Dan Sultan Yang Adil
Posted by AnOkKeLaTe at 8:21 PM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
 
 
 
 
0 comments:
Post a Comment