BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Friday, September 5, 2008

Hikmah Berpuasa

Asslamualaikum

Sedar atau tidak kita sudah pun 6 hari kita berada didalam bulan ramadhan, bulan penuh dengan keberkatan dan rahmat. Bulan dimana semua umat Islam menjalani ibadah selaras dengan tuntutan Rukun Islam yang Ke-3 iaitu berpuasa di bulan Ramadhan. Syukur Alahamdulillah kerana, saya dan jemaah sekalian masih lagi diberikan peluang untuk menjalani ibadat puasa serta sama-sama berada dalam bulan penuh keberkatan ini.

Dikesempatan ini, Putera_Kelate ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang hikmah kenapa kita disyariatkan untuk berpuasa. Sebelum kita pergi lebih jauh, kita semua perlu tahu apa itu yang dimaksudkan dengan puasa. Secara umumnya, puasa bermaksud menahan diri dari makan, minum dan bersetubuh mulai terbit fajar sehingga terbenam matahari kerana Allah Ta’ala. Begitu juga dengan hendaklah menahan diri daripada perkataan sia-sia, perkataan yang menimbulkan syahwat, perkataan yang diharamkan dan dimakruhkan menurut syarat-syarat yang telah ditentukan.

Hikmah Puasa :

  1. Sebagai tanda kesyukuran dan terima kasih kepada Allah diatas nikmat dan pemberiaNya yang tidak terhingga.
  2. Mengutakan iman kita kepada Allah s.w.t lerana iman kepadaNya menyebakan kita menahan diri daripada segala keinginan nafsu shawat pada siang hari sepanjang bulan puasa.
  3. Sebagai medium untuk memberikan pendidikan kepada jiwa supaya mentaati segala suruhan Allah.
  4. Menginsafi diri bahawa kita adalah hamba Allah yang lemah disisiNya.
  5. Melatih supaya menjadi orang yang muqarrabin (orang yang dekat dengan Allah) iaitu orang yang dapat menahah diri daripada menurut hawa nafsu.
  6. sebagai medium untuk melahih diri supaya bersifat sabar, kuta dan tahan menghadapi segala cubaan, kesushan dan kesengsaraan yang dating menimpa.

Monday, September 1, 2008

Memori Berpuasa Di Perantauan

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, selaut kesyukuran Putera_Kelate panjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya masih lagi berikan kesempatan untuk bertemu lagi dengan bulan yang penuh rahmat bagi seluruh umat Islam. Hari ini tanggal 1 September 2008 bersamaan dengan 1 Ramadhan 1429, merupakan hari pertama kita semua berpuasa. Pasti pelbagai cabaran dan dugaan yang kita akan tempuhi sepanjang sebulan menjalankan ibadat ini, untuk memenuhi tuntutan kita sebagai hamba Allah.

Bagi Putera_Kelate, setiap kali tiba bulan Ramadhan, pasti akan mengamit atau mengembalikan memori masa lalu yang cukup indah untuk dikongsikan bersama pembaca. Dikesempatan Ramadhan kali ini, Putera_Kelate ingin berkongsi pengalaman berpuasa di perantauan semasa, Putera_Kelate menuntut di universiti. Satu pengalaman yang cukup menarik, dan tidak mungkin akan dilupakan sepanjang hidup Putera_Kelate.

Sepanjang menutut di Universti Utara Malaysia (UUM), Putera_Kelate telah diberikan peluang untuk merasa nikmat berpuasa di perantauan, dimana pengalaman baru yang belum pernah dirasai oleh Putera_Kelate sebelum ini. Banyak catatan menarik suka dan duka telah dirakamkan sepanjang berada di perantauan dan pengalam berpuasa sebagai seorang mahasiswa.

Pengalaman yang tidak mungkin akan dilupakan oleh Putera_Kelate sepanjang berpuasa sebagai seorang perantau ialah semasa Putera_Kelate, menuntut ditahun ke-2. Ramadhan di tahun ke-2, bergelar mahasiswa banyak memberikan pengalaman dan pengjaran buat Putera_Kelate, erti keperitan sebuah kehidupan, persahabatan dan macam-macam lagi pengalaman baru. Kedatangan Ramadhan, di tahun itu, disambut ketika semua pelajar bertungkus lumus dan membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan akhir. Banyakkan satu pengalaman baru yang terpaksa ditempuhi.

Antara pengalaman baru yang boleh dikongsi bersama ialah, pengalaman menyediakan juadah untuk bersahur beramai-ramai. Satu pengalaman baru yang dikutip oleh Putera_Kelate sepanjang bergelar Mahasiswa. Barulah Putera_Kelate tahu betapa susah menyediakan juadah untuk bersahur, kalau dirumah bagun terus boleh makan, sebab semuanya telah disediakan oleh mak, tapi bila berada diperantauan semuanya kita kena lakukan sendiri. Inilah antara cabaran yang terpaksa di tempuh oleh Putera_Kelate.

Kenangan yang paling sukar untuk dilupakan Putera_Kelate ialah terpaksa menyediakan juadah berhasur untuk 10 orang makan. Susah jugak untuk berbuat demikian. Tapi bantuan rakan-rakanlah yang banyak membantu dalam meringakan beban ini. Menu utama masakan kami ialah kari dalam tin dan sardin beserta dengan telur. Hari-hari kami menghadap makanan tersebut. Tapi apa boleh buat itu jer rezeki kami, bukan untuk mengeluh tapi sekadar untuk berkongsi pengalaman suka dan duka sebagai seorang pelajar.

Makan makanan yang samalah yang telah menyebabkan, kami semua sakit perut selama seminggu, tapi tak per, kami buat tak tahu jer. Banyakkanlah tengah-tengah jawab exam final perut memulas, tapi kami tetap teruskan perjuangan di dewan peperiksaan. Bukan sorang yang kena, tapi semua yang makan makanan tersebut, terkena tempiasnya. Kadang-kadang bila terkenang kembali manis juga pengalaman tersebut. Namun begitu, kami masih lagi diberikan kekuatan untuk menghadapi ujian tersebut…

Cerita ini akan bersambung pada coretan yang akan datang.

Puasa

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, selaut kesyukuran Putera_Kelate panjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya masih lagi berikan kesempatan untuk kita semua bertemu dengan penghulu segala bulan iaitu Bulan Ramadhan. Satu bulan yang penuh beberkatan bagi umat manusia khususnya umat Islam dimana setiap kerja kebajikan dilakukan maka pahala akan digandakan.

Bulan Ramadhan Al-Mubarak atau penghulu segala bulan, sebenarnya adalah satu anugerah yang sangat besar dari Allah S.W.T untuk seluruh umat Islam, tetapi ia akan cukup bermakna bila kita menghargai sepenuhnya kedatangan bulan tersebut.

Dalam satu hadith yang berbunyi “ Sekiranya manusia mengetahui apakah itu ramadhan, maka seluruh umatku akan berkeinginan bahawa sepanjang tahun itu Ramadhan.” Setiap orang faham bahawa untuk berpuasa sepanjang tahun adalah perkara yang sangat susah, tetapi apabila dibandingan dengan pahala bulan Ramadhan, Rasulullah mengatakan bahawa ramai orang akan bercita-cita untuknya.

Berdasarkan kenyataan ini, jelas menunjukkan bahawa, kedatangan bulan Ramadhan sangat penting bagi kita umat manusia, khususnya umat Islam. Kita semua patut bersyukur kerana masih lagi diberikan peluang untuk bertemu dengan Ramadhan. Semoga kedatangan Ramadhan kali ini, kita dapat manfaatkan sepenuhnya dengan amal soleh yang dapat membantu memimpin kita kearah kebenaran dan jadikanlah pertemuan dengan Ramadhan kali ini, sebagai pertemuan yang terakhir. Ini kerana, kita semua belum tentu lagi dapat bertemu dengan Ramadhan untuk tahun hadapan. Jadi manfaatlah peluang yang ada ini dengan sebaik-baiknya..

SELAMAT MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN RAMADHAN & SELAMAT MENJALANI IBADAT PUASA

Saturday, August 30, 2008

Tok Guru Ambo



Tok Guru Ambo dan Tok Guru Seluruh Rakyat Kelantan Darul Naim



Ulama Dan Tokoh Politik Tanahair Yang Komited



Tenang, warak, penyabar dan pemurah adalah merupakan ciri-ciri utama yang terkandung di dalam peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang ke-5.


Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama dan tokoh politik tanahair yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad yang lalu. Tidak syak lagi, beliau adalah satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan paling gigih memperjuangkan Islam sebagai ad-Deen yang perlu ditegakkan di negara ini.



Alhamdulillah, berkat kesabaran, kegigihan dan komitmennya yang total di dalam perjuangannya itu, akhirnya fajar kejayaannya sudah mula menyinsing di ufuk kenyataan hidup. Kelantan sudahpun dapat ditawannya. Berikutnya beliau telah dipilih untuk mengetuai kabinet Kerajaan Islam di negeri ini.


"Semacam ada persafahaman antara para malaikat di langit dan para pengundi di bumi," kata Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ketika mengulas kemenangan PAS dan Angkatan di dalam pilihanraya umum yang baru lalu.


Selaku Menteri Besar, Tuan Guru Haji Nik Aziz telah membuktikan keupayaan dan kecekapan beliau memimpin kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah yang baru sahaja jatuh ke tangannya itu. Pelbagai saranan dan pembaharuan yang membina telah diperkenalkannya.


Beliau memotong gajinya sebanyak 40 peratus untuk Tabung Kewangan PAS Negeri Kelantan.



Beliau enggan menerima elaun tahunan untuk menyediakan pelbagai juadah kerana menyambut hari raya. Beliau memberi amaran supaya para Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri di dalam apa jua bentuk rasuah dan penyelewangan. Dan beliau mengambil pelbagai langkah lain lagi bagi mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih, adil dan Islamik.

Ketaralah, di sebalik tubuh yang kecil itu, terhimpun segala kekuatan dan keberanian yang boleh melemahkan pihak musuh, betapa pun kuat dan ramai bilangan mereka.



Ahli Parlimen Yang Komited



Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.


Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.


Malangnya ucapan-ucapannya yang bernas dan panjang lebar itu telah tidak di beri liputan yang sewajarnya di dalam media massa – baik di dalam akhbar-akhbar utama mahupun di dalam media letronik seperti TV dan radio. Hal ini dapat difahami kerana hampir kesemua alat media massa yang penting di negara ini berada di bawah kawalan kerajaan Barisan Nasional.



Dikagumi Kawan Dan Lawan


Kemudian dalam pilihanraya umum yang berlangsung pada 21 Oktober lalu, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sekali lagi memenangi kerusi DUN Semut Api. Beliau mengalahkan calon BN, Haji Wan Muhammad Wan Yusof dengan mendapat kelebihan undi sebanyak 6,993. Suatu pencapaian yang paling tinggi sekali di kalangan para ADUN yang lain! Sekaligus membuktikan kewibawaan dan kepopularan beliau yang tidak boleh disangkal lagi!.


Selain dari menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga menjadi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Beliau adalah satu-satunya tokoh ulama yang paling dihormati dan disegani , digeruni dan dikagumi baik oleh kawan mahupun oleh lawan.


Kini suasana politik di negeri Serambi Mekah ini kelihatan begitu tenang dan mantap. Rakyat merasa lebih bebas dan lebih selesa hidup di bawah pemerintahan Islam pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Mungkin juga berkat kepimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz yang selama ini memang terkenal sebagai seorang ulama yang warak dan kuat beribadat.



Latarbelakang Keluarga Dan Pendidikan


Dilahirkan di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu pada tahun 1931, Tuan Guru Haji Abdul Aziz telah mempelajari ilmu agama sejak alam kanak-kanak lagi. Mula-mula beliau belajar dengan ayahnya sendiri, Tuan Guru Haji Nik Mat, juga seorang guru agama dan ulama yang terkenal di kampungnya pada masa itu.



Kemudian Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz melanjutkan pula pengajian agamanya di pondok Tuan Guru Haji Abbas di Jertih, Terengganu. Selepas beberapa tahun mendalami ilmu agama dengan Tuan Guru Haji Abbas, beliau berangkat ke India untuk melanjutkan pengajiannya di sana pula.


Setelah tamat pengajiannya di India, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz berangkat pula ke Mesir. Di Mesir beliau memasuki Universiti Al-Azhar di dalam jurusan bahasa Arab. Setelah memperolehi ijazah Sarjana Muda di dalam Pengajian Arab, Tuan Guru Haji Nik Aziz meneruskan lagi pengajiannya di universiti yang sama di dalam jurusan perundangan Islam. Beliau lulus pengajiannya sehingga ke peringkat sarjana iaitu M.A. di bidang perundangan Islam.


Pulang Ke Tanahair



Setelah dadanya diisi dengan ilmu agama secara mendalam, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz kembali semula ke tanahair. Di tanahair beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang guru agama di sebuah sekolah agama rakyat di samping mengajar agama di kelas-kelas dewasa pada sebelah malamnya. Beberapa tahun kemudian beliau mengajar pula di Sekolah Arab Maahad Muhammadi Kota Bharu – sebuah sekolah menengah agama aliran Arab yang tertua dan terbesar di negeri Kelantan.



Dalam masa yang sama, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menceburkan dirinya di dalam kegiatan-kegiatan dakwah. Beliau menyampaikan ceramah-ceramah agama di pelbagai tempat khususnya di Masjid Kampung Pulau Melaka – kampung tempat beliau dilahir dan dibesarkan!.



Dari semasa ke semasa namanya semakin terkenal. Murid-muridnya semakin bertambah ramai. Imejnya sebagai seorang tokoh ulama yang disegani dan dikagumi ramai semakin menonjol. Pengaruhnya semakin meluas. Kewibawaaannya semakin mendapat pengiktirafan umum.



Ceburi Bidang Politik

Oleh kerana agama dan politik itu saling kait mengait dan tidak boleh dipisahkan, maka Tuan Guru akhirnya telah menceburkan dirinya di dalam kegiatan politik tanahair. Beliau memilih PAS oleh kerana parti itu memperjuangkan Islam dan bercita-cita untuk menegakkan sebuah pemerintahan Islam di negara ini.


Pembabitan beliau di dalam politik tanahair melalui PAS tidaklah pula sampai beliau mengabaikan penglibatannya di bidang dakwah dan pendidikan agama.
Mulai tahun 1967 Tuan Guru Haji Nik Abdul Azizl mula menyertai PAS. Dalam tahun yang sama beliau telah dipilih untuk bertanding dalam suatu pilihanraya kecil di Kelantan. Beliau menang di dalam pilihanraya kecil itu.



Sejak itu hampir setiap kali pilihanraya, beliau sentiasa memenangi kerusi Parlimen yang ditandinginya iaitu Kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Malah Pengkalan Chepa telah muncul sebagai kubu PAS dan sejak dahulu hingga sekarang kerusi Parlimen Pengkalan Chepa tidak pernah dapat ditawan oleh UMNO atau BN.


Mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat


Memandang kepada ketokohan dan kewibawaannya sebagai seorang ulama, beliau telah diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan PAS untuk mengetuai Dewan Ulama PAS Pusat mulai akhir tahun 1960an.



Selaku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sering mengingatkan ahli-ahli PAS dan umat Islam di negara ini agar mematuhi kesemua ajaran Rasulullah SAW. Bukannya mengambil bahagian-bahagian tertentu dan membuang bahagian-bahagian yang lain yang dirasa bercanggah dengan kepentingan peribadi.


Alam Rumahtangga

Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah mendirikan rumahtangga dengan Hajjah Tuan Sabariah binti Tuan Ishak kira-kira 30 tahun yang lalu. Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak – 5 lelaki dan 5 perempuan. Salah seorang (yang sulung) daripada mereka – Noor Aini namanya – kini bertugas sebagai seorang pensyarah di sebuah Maktab Perguruan di Kuala Lumpur.


Kerajaan Misali


Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.


Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak – dalam dan luar negeri – Tuan Guru Haji Abdul Aziz masih mampu meneruskan ceramah mingguannya pada setiap pagi Jumaat bertempat di Dewan Zulkifli Muhammad Bangunan PAS yang terletak ditengah-tengah pusat bandar Kota Bharu, ibu negeri Serambi Mekah itu.


Di sinilah – di Medan Ilmu – ribuan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai pada setiap pagi Jumaat untuk mengikuti ceramah mingguan YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang mereka kasihi dan hormati itu.

Dengan kesungguhan, keberanian dan komitmen yang total, kita yakin kerajaan Angkatan di negeri Kelantan yang dipimpin oleh YAB Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berjaya menegakkan sebuah kerajaan Islam di negeri Serambi Mekah ini. Dan kerajaan Islam Serambi Mekah ini, insya Allah akan menjadi sebuah kerajaan Misali yang akan menjadi panduan dan rujukan kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain di negara ini khasnya dan kepada kerajaan-kerajaan Islam di luar dari negara ini amnya.

Oleh :
LOTFI ISMAIL

Merdeka Oh Merdeka


Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah S.w.t, kerana dengan limpah kurniaNya, kita semua akan merayakan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara tercinta iatu Malaysia yang ke- 51 pada 31 Ogos 2008 bersamaan dengan 29 Rejab 1429.




Penambahan usia negara kita ini seharusnya tidak melupakan, kita kepada jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu. Kerana merekalah yang telah bertungkus-lumus berkorban demi memerdekakan tanah air yang tercinta dari belenggu penjajah. Tanpa perjuangan dan kesedaran dari mereka, mungkin kita tidak akan berada seperti hari ini.



Sebagaimana yang kita ketahui, hampir 300 tahun, tanah air kita dijajah oleh kuasa asing. Antara kuasa asing yang pernah menjadikan tanah air kita sebagai jajahan takluk mereka ialah bermula dari British, Belanda, dan Jepun. Ketiga-tiga negara penjajah ini, telah meninggalkan 1001 rasa kepada penduduk tanah air kita.




Bila kita kenang kembali, sejarah sorotan kemerdekaan, kita pasti akan terkenang jasa dan pergorbanan tokoh perjuangan kemerdekaan seperti Tunku Abdul Rahman, Dato' Onn Jaafar, Leftenan Adnan dan ramai lagi tokoh perjuangan lain yang dianggap pejuang sejati oleh pihak British. Namun begitu, kita tidak boleh melupakan tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan yang berhaluan kiri seperti Ibrahim Hj Yaakub (PakSako), Ahmad Bostaman, Yusuf Hj Ishak dan ramai lagi pejuang bangsa yang telah dilahirkan.



Ini kerana merekalah yang mula-mula meniup semanagat kebangkitan melawan penjajah melalui tulisan dan karya agung yang berjaya menyatupadukan penduduk Tanah Melayu untuk bangkit menentang penjajah.



Bertitik tolak dari merekalah, lahirnya semangat Nasionalisme dikalangan rakyat tempatan untuk bangkit melawan penjajah. Maka Lahirlah pejuang-pejuang kebangsaan seperti Dato Onn, Tunku Abdul Rahman dan beberapa orang pejuang lain yang meneruskan perjuangan memerdekakan Tanah Melayu dari belenggu penjajahan.




Mereka menuruskan kesinambungan semagat perjuangan yang telah dimulakan oleh Pahlawan melayu terdahulu seperti Tok janggut, Mat Kilau, Tok Gajah, Dol Saiq, Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi tokoh perjuangan Melayu yang lain.


Dalam pada itu, golongan agama atau juga kita tidak boleh lupakan. Mereka juga banyak membantu menerapkan semanagat perjuangan dikalangan masyarakat. Antara tokoh yang terlibat menggerakkan semangat ini ialah Tok Kenali, Dr. Burhanuddin el-Helmy dan ramai lagi tokoh umalak tersohor dari seluruh tanah air yang terlibat dalam perjuangan kemerdekaan.


Oleh itu, kita semua perlu berterima kasih kepada pejuang-pejuang dahulu, kerana telah bersusah payah membebaskan tanah air kita dari terus jajah oleh orang asing. Tanpa perjuangan dari mereka, mungkin kita tidak akan berada dalam keadaan seperti sekarang.


Kita juga perlu menanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana telah menganugerahkan satu nikmat yang tidak ternilai bagi seluruh warga rakyat Malaysia iaitu nikmat KEMERDEKAAN.


Syukur Alhamdulillah...


"Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke 51- Perpaduan Teras Kejayaan"







Thursday, August 28, 2008

Selamat Menyambut Kedatangan Bulan Mulia


Tinggal beberapa hari sahaja lagi, seluruh umat Islam di seluruh dunia akan menyambut satu kedatangan bulan yang cukup mulia. Bulan yang penuh dengan 1001 rahmat buat umat Islam iaitu bulan Ramadhan.


Satu bulan yang menjanjikan peluang untuk kita membuat amalan, kerana pahala amalan pada bulan ini sangat besar ganjaranya berbanding dengan bulan-bulan lain.




Pada tahun kita, seluruh umat islam akan menyambut kedatangan Ramadhan atau bulan puasa pada 1 September 2008. Iaitu jatuh pada hari Isnin. Semoga dengan kedatangan bulan yang penuh dengan rahmat ini, akan menghadirkan 1001 satu sinar dalam hidup kita, sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini.

Tuesday, August 26, 2008

Kisah Si Penjual Keropok



Semalam sudah pun berlalu, tapi banyak perkara yang telah di lalui oleh diri Putera_Kelate. Kenangan semalam telah banyak membantu dan mengajar diri Putera_Kelate erti sebuah kehidupan. Semalam selepas pulang dari latihan badminton bersama geng KelateDotNet, Putera_Kelate bersama ahli komuniti lain merancang untuk melepaskan lelah di tempat biasa ( Mamak Spicey sebuah tempat makan yang agak popular di Bandar Kota Bharu).

Semasa sedang minum bersama rakan-rakan. Putera_Kelate dikejutkan dengan seorang abang yang datang memberi salam dan menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Putera_Kelate dan rakan-rakan. Terkejut juga pada peringkat awalnya.

Selepas bersalam, abang tersebut mengeluarkan barangan yang dibawanya, lalu diperkenalkan kepada Putera_Kelate dan rakan. Rupa-rupanya, Abang tersebut menjual keropok. Disini Putera_Kelate ingin berkongsi tetang perihal diri abang si penjual keropok tadi.

Walaupun beliau orang kurang upaya (OKU), kegigihan beliau menjualkan keropok demi mencari sesuap rezeki begitu menyentuh hati Putera_Kelate. Terdetik di fikiran Putera_Kelate keperitan yang dialami oleh abang si penjual keropok untuk mendapatkan sesuap rezeki buat menyara dirinya dan keluarga. Ketabahan dan ketekunan abang si penjual keropok boleh dijadikan contoh oleh kita semua sebagai orang yang sempurna demi mencari sesuap rezeki. Keadaan fizikal beliau, tidak pernah menghalang beliau, untuk mencari sesuap rezeki yang halal bagi menyara kehidupanya.

Begitulah, keperitan mencari sesuap rezeki untuk di suapkan kedalam mulut kita. Sebenarnya keperintan inilah yang banyak mengajar kita, supaya menghargai dan mensyukuri setiap titisan rezeki yang diberikan oleh Allah kepada kita. Jadi kita sebagai hambaNya perlulah berterima kasih diatas kurniaan rezeki tersebut.


bersambung lagi...