MENANTI DI BARZAKH
Ku Merintih, Aku Menangis,
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata,
Perjalanan Rohku,
Melengkapi Sebuah Kembara,
Singgah Di Rahim Bonda,
Sebelum Menjejak Ke Dunia,
Menanti Di Barzakh,
Sebelum Berangkat Ke Mahsyar,
Diperhitung Amalan,
Penentu Syurga Atau Sebaliknya,
Tanah Yang Basah Berwarna Merah,
Semerah Mawar Dan Jugak Rindu,
7 Langkah Pun Baru Berlalu,
Susai Talkin Penanda Syahdu,
Tenang Dan Damai Di Pusaraku,
Nisan Batu Menjadi Tugu,
Namun Tak Siapa Pun Tahu Resah Penantianku,
Terbangkitnya Aku Dari Sebuah Kematian,
Seakan Ku Dengari,
Tangis Mereka Yang Ku Tinggalkan,
Kehidupan Disini Bukan Suatu Khayalan x2
Tetapi Ia Sebenar Kejadian x2
Kembali Oh Kembli,
Kembalilah Kedalam Diri,
Sendirian Sendiri,
Sendiri Bertemankan Sepi,
Hanya Kain Putih Yang Membaluti Tubuhku,
Terbujur Dan Kaku,
Jasad Terbujur Didalam Keranda Kayu,
Ajal Yang Datang Dibuka Pintu ,
Tiada Siapa Yang Memberi Tahu,
Tiada Siapa Pun Dapat Hindari,
Tiada Siapa Yang Terkecuali,
Lemah Jemari Nafas Terhenti,
Tidak Tergambar Sakitnya Mati,
Cukup sekali Jasadku Untuk Mengulangi,
Jantung Berdenyut Kencang,
Menantikan Malaikat Datang,
Mengigil Ketakutan Gelap Pekat Dipandangan,
Selama Ini Diceritakan
Kini Aku Merasakan
Dialam Barzakh Jasad Dikebumikan
Ku Merintih, Aku Menangis,
Ku Meratap, Aku Mengharap,
Ku Meminta Dihidupkan Semula,
Agar Dapat Kembali Ke Dunia Nyata,
(Lagu Kumpulan Far east)
Mati ialah perpisahan roh daripada jasad dan merupakan satu kepastian. Semua makhluk yang bernyawa pasti akan mati termasuklah diri kita ini. Mati juga adalah proses perpindahan daripada kehidupan di alam dunia ke alam barzakh. Barzakh pula bermaksud pemisah yang merupakan alam bagi orang yang telah meninggal dunia sementara menunggu hari kebangkitan semula pada hari kiamat.
Ketika berada di alam barzakh, manusia akan disoal mengenai amalan-amalannya semasa hidup di dunia. Bagi mereka yang melakukan amalan soleh akan selamat dan bahagia di alam barzakh, manakala orang yang ingkar kepada Allah akan hidup sengsara.
Salah satu hadis daripada Nabi ialah yang bermaksud:
“ Sesungguhnya kubur itu satu taman daripada taman-taman syurga atau satu lubang daripada lubang-lubang api neraka”
Kehidupan Di Alam Barzakh
1) Orang mukmin yang taat seperti menunaikan solat fardhu dan patuh kepada ibu bapa serta melakukan amalan baik yang lain akan dilapangkan kubur mereka seluas tujuh puluh hasta. Selain itu, mereka juga akan dilayan dengan baik oleh para Malaikat. Kehidupan mereka seumpama di taman syurga dan dijanjikan dengan ganjaran syurga yang akan diterima di akhirat kelak.
2) Sebaliknya bagi orang yang fasik akan dihimpit oleh kubur sehingga tulang rusuk kanan bertemu dengan tulang rusuk kiri. Kemudian akan datang kepada mereka binatang-binatang berbisa seperti ular dan kala jengking yang akan mematuk dan menyengat mereka sehingga ke hari kiamat.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu sedang bergelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati. Golongan ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut, kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai kematian dan hubungannya dengan malaikat maut.
Enam perkara yang Allah sembunyikan:
- Allah menyembunyikan redhaNya dalam taat
- Allah menyembunyikan murkaNya dalam maksiat
- Allah menyembunyikan namaNya Yang Maha Agung dalam Al-Quran
- Allah menyembunyikan Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan
- Allah menyembunyikan solat yang paling utama dalam solat yang lima waktu
- Allah menyembunyikan tarikh terjadinya hari kiamat dalam semua hari
Amalan Menghadapi Mati
- Bertaubat dan beristighfar kepada Allah
- Melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi laranganNya
- Berbuat kebaikan dan berkasih sayang sesama manusia
- Amar Makruf Nahi Mungkar dalam masyarakat
- Memberikan sumbangan ke arah kemajuan negara Islam
Baginda Rasullullah S.A.W berkata: "Apabila telah sampai ajal seseorang itu maka akan masuklah satu kumpulan malaikat ke dalam lubang-lubang kecil dalam badan dan kemudian mereka menarik rohnya melalui kedua-dua telapak kakinya sehingga sampai ke lutut. Setelah itu datang pula sekumpulan malaikat yang lain masuk menarik roh dari lutut hingga sampai ke perut dan kemudiannya mereka keluar. Datang lagi satu kumpulan malaikat yang lain masuk dan menarik rohnya dari perut hingga sampai ke dada dan kemudiannya mereka keluar. Dan akhir sekali datang lagi satu kumpulan malaikat masuk dan menarik roh dari dadanya hingga sampai ke kerongkong dan itulah yang dikatakan saat nazak orang itu." Sambung Rasullullah S.A.W. lagi: ”Jika orang yang nazak itu orang yang beriman, maka malaikat Jibril a.s akan menebarkan sayapnya yang di sebelah kanan sehingga orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di syurga. Apabila orang yang beriman itu melihat syurga, maka dia akan lupa kepada orang yang berada di sekelilingnya.
Ini adalah kerana sangat rindunya pada syurga." Kalau orang yang nazak itu orang munafik, maka Jibril a.s akan menebarkan sayap di sebelah kiri. Maka orang yang nazak itu dapat melihat kedudukannya di neraka dan dalam masa yang sama orang itu tidak lagi melihat orang di sekelilingnya. Ini adalah kerana terlalu takutnya apabila melihat neraka yang akan menjadi tempat tinggalnya.
Oleh itu, kita sebagai hamba yang hina di muka bumi ini sentiasa perlu bersedia menghadapi kematian kerana kita tidak boleh lagi kembali ke dunia ini setelah mati. Sentiasalah kita berdoa semoga diri kita, keluarga kita, semua umat Islam selamat daripada azab kubur dan seksaan api neraka. Kematian yang Allah tetapkan tidak dapat kita elakkannya kerana apabila kematian seseorang itu telah tiba, maka tidak tertangguh sedikitpun walau sesaat. Semoga di saat kematian itu, nyawa kita dapat keluar dengan mudah dan tenang ketika Malaikat Maut mengambilnya dan mudah menjawab soalan Malaikat Mungkar dan Nakir. Amin Ya Rabbal Alamin......